KUALA LUMPUR, 30 Mei — Pemain beregu campuran kebangsaan Toh Ee Wei dijangka menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) pada Isnin selepas mengalami kecederaan lutut kiri ketika aksi suku akhir Singapura Terbuka semalam.
Perkembangan terkini disahkan oleh pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, yang menyatakan tahap kecederaan Ee Wei masih belum jelas.
“Berdasarkan laporan (perubatan), ahli fisioterapi belum dapat memastikan keadaan sehingga doktor melakukan MRI pada Isnin,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Ee Wei dan pasangannya Chen Tang Jie tidak dapat menamatkan perlawanan suku akhir Singapura Terbuka selepas pemain wanita itu mengalami kecederaan ketika perlawanan.
Juara dunia itu sedang mendahului 18-16 menentang gandingan India yang merupakan pasangan ranking ke-28 dunia, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, sebelum menarik diri selepas 24 minit perlawanan. — Bernama



