Seorang wanita warga Myanmar maut selepas ditikam dalam kejadian yang dipercayai bermotifkan cemburu di sebuah kondominium di Genting Court, Setapak, Kuala Lumpur, semalam. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.20 petang melalui panggilan orang awam.
Menurut beliau, pemanggil memaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian, dipercayai akibat ditikam oleh seorang lelaki. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan awal
Hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas suami mangsa dan kejadian dipercayai bermotifkan cemburu. Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Fadil berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 30 April bagi membantu siasatan. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.
Kejadian ini tular di media sosial selepas video wanita tersebut terbaring di lokasi kejadian tersebar luas. Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.



