KANGAR, 29 Mei — Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah bakal dipanggil polis untuk disoal siasat berikutan tularnya klip video yang menunjukkan beliau menembak seekor lembu dengan senapang semasa upacara korban Aidiladha semalam.
Video tular dan kecaman
Rakaman yang tersebar luas di media sosial itu mencetuskan kecaman dalam talian, dengan segelintir pihak mempersoalkan penggunaan senjata api dalam ritual korban dan sama ada ia mematuhi prosedur agama.
Abu Bakar mengakui menembak lembu tersebut tetapi berkata ia dilakukan bagi mengelakkan sesiapa daripada cedera selepas haiwan itu terlepas.
“Saya tidak menembak lembu itu untuk bersuka-suka. Ia telah menjadi agresif. Jika kami biarkan sahaja dan ia menanduk seseorang hingga mati, siapa yang akan bertanggungjawab?
“Sebaik sahaja ia terlepas, kami tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Jadi saya mengambil senapang dan menembak kakinya. Selepas ia tumbang, barulah kami menyembelihnya,” katanya seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today hari ini.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis itu turut menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku semasa kejadian.
Siasatan polis
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata siasatan telah dimulakan, lapor Berita Harian petang ini.
“Kejadian dalam video tular itu sudah pun dalam pengetahuan polis. Setakat ini, tiada laporan polis diterima, tetapi siasatan awal sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata polis sedang menyiasat jenis senjata api dan peluru yang digunakan, termasuk sama ada peluru tajam terlibat.
“Kami akan memanggil Menteri Besar untuk mendapatkan keterangan berhubung isu ini,” tambahnya.



