Remaja langgar mati 3 individu jalani hukuman di Sekolah Henry Gurney
Remaja langgar mati 3 individu jalani hukuman di Sekolah Henry Gurney

Remaja lelaki berusia 18 tahun diperintahkan menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tiga individu dalam kemalangan di Senawang, tahun lalu.

Hukuman dan Pampasan

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah turut memerintahkan ibu bapa remaja berkenaan membayar pampasan RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa di bawah Seksyen 426A Kanun Tatacara Jenayah. Prosiding dijalankan secara tertutup.

Mahkamah seterusnya memerintahkan pesalah kanak-kanak (PKK) itu ditempatkan di bawah pengawasan pegawai akhlak selama setahun selepas tamat tempoh pemulihan. Ibunya selaku penjaga dikenakan bon kelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM4,000 di bawah Seksyen 93(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Remaja itu turut didenda RM2,000 di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen.

Proses Perbicaraan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Hafiza Ishak, manakala remaja berkenaan diwakili peguam Johan Radzi. Bercakap kepada pemberita, Noor Hafiza berkata pihaknya memohon hukuman penjara terhadap tertuduh, manakala peguam bela memohon supaya anak guamnya dilepaskan dengan bon berkelakuan baik sebelum hukuman dijatuhkan.

“Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesyorkan supaya ditempatkan di Sekolah Henry Gurney dan mahkamah menerima syor tersebut,” katanya selepas prosiding. Mahkamah turut membenarkan tiga wakil keluarga mangsa membacakan kenyataan impak mangsa sebelum hukuman dijatuhkan.

Kesan Kemalangan

Dalam pada itu, Johan berkata anak guamnya hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat kerana masih mengalami kecederaan susulan kemalangan berkenaan, berdasarkan laporan perubatan diterima. Remaja itu didakwa memandu Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17, di Jalan Persiaran Senawang 1 pada 8.30 malam, 6 Mac 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda minimum RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga