Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa semua perkara berkaitan program matrikulasi, termasuk dasar pengambilan, tawaran penempatan, rayuan, dan pengurusan kemasukan, adalah di bawah bidang kuasa Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPT menyatakan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, S Preakas, kelihatan salah faham mengenai struktur sistem pendidikan negara apabila beliau meminta KPT menjelaskan mengapa seorang pelajar yang memperoleh 11A dalam SPM tidak berjaya mendapat tempat dalam program matrikulasi.
“Kenyataan Preakas adalah tidak tepat dan mengelirukan,” kata KPT dalam satu kenyataan. “KPT dipersalahkan atas perkara yang sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa KPM.
“Program matrikulasi ditadbir oleh KPM, bukan KPT. KPT tidak terlibat dalam proses pemilihan atau tawaran kemasukan ke program matrikulasi.
“Adalah tidak tepat dan tidak bertanggungjawab untuk mengaitkan KPT (dengan isu ini) dan mendesak Menteri Pendidikan Tinggi campur tangan dalam perkara yang bukan di bawah bidang kuasa kementerian ini.”
KPT juga menyatakan kesal bahawa isu-isu penting yang menjejaskan masa depan pelajar digunakan untuk menyasarkan pihak tertentu tanpa pengesahan yang betul.
Preakas semalam berkata seorang pelajar yang memperoleh 11A dalam SPM ditawarkan tempat di politeknik selepas dilaporkan gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi. ADUN DAP itu menegaskan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas, tanpa mengira kaum atau latar belakang, akan dijamin mendapat tempat dalam program matrikulasi.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai ketelusan sistem kemasukan program matrikulasi dan meminta KPT serta menterinya, Zambry Abdul Kadir, memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara tersebut.



