MB Perlis Dirakam Keterangan, Polis Rampas Senjata Kes Tembak Lembu
MB Perlis Dirakam Keterangan, Polis Rampas Senjata

PETALING JAYA: Polis telah merakam keterangan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dan merampas senjata api serta peluru yang dipercayai digunakan dalam insiden menembak lembu korban yang tular di Kuala Perlis.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata pihaknya menerima laporan orang awam pada pukul 4.51 petang semalam berhubung video berdurasi 38 saat yang memaparkan kejadian tersebut.

Menurutnya, hasil semakan Bahagian Perlesenan IPD Kangar mengesahkan bahawa menteri besar adalah pemegang lesen sah bagi senapang patah yang digunakan dalam kejadian itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Berdasarkan keterangan menteri besar Perlis, tindakan demikian diambil kerana pada ketika itu seekor lembu telah mengamuk dan mengancam petugas serta orang awam yang berada di Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis,” katanya dalam kenyataan.

“Polis merampas senapang patah serta sembilan butir peluru jenis buckshot untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Video tular berdurasi 38 saat sebelum ini memaparkan Abu Bakar menembak seekor lembu yang dipercayai untuk ibadah korban. Beliau kemudian mempertahankan tindakannya dengan alasan ia dilakukan demi keselamatan orang ramai.

Menurutnya, dakwaan di media sosial yang menggambarkan seolah-olah lembu korban disembelih menggunakan kaedah tembakan adalah tidak benar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana melepaskan tembakan di tempat awam, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Yusharifuddin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengundang provokasi terhadap mana-mana pihak.

“Polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mengugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga