5 termasuk jururawat direman kes jual MC palsu
Lima termasuk jururawat direman kes jual MC palsu

PETALING JAYA: Lima individu termasuk seorang jururawat telah direman sehingga empat hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC) palsu.

Perintah reman terhadap suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 55 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Pekan, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Pekan Zaidi Mat Zin dalam satu kenyataan berkata, suspek yang bekerja di sebuah klinik kesihatan di daerah itu ditangkap antara jam 3 petang dan 10 malam semalam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata, kes itu terbongkar selepas pejabat kesihatan daerah mengesan kejanggalan melibatkan sijil cuti sakit yang dipercayai dikeluarkan menggunakan dokumen rasmi kerajaan tanpa kebenaran di sebuah klinik kerajaan di Pekan pada 12 Mei.

Siasatan dalaman mendapati MC tersebut menggunakan nama, cop dan tandatangan seorang pegawai perubatan, katanya.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan itu telah dipindahkan ke sebuah hospital di luar Pekan sejak 2023. Agensi tersebut membuat laporan polis pada 10 Jun,” katanya seperti dipetik.

Zaidi berkata, dua lelaki dan seorang wanita dipercayai menjadi perantara dalam penjualan MC tersebut, manakala seorang jururawat wanita berusia 55 tahun disyaki membekalkan dokumen rasmi.

Polis turut menahan seorang pekerja kilang berusia 34 tahun yang dipercayai membeli salah satu MC palsu itu.

“Kumpulan ini dipercayai menjual MC palsu dengan harga antara RM50 dan RM200 setiap satu,” katanya.

Kes disiasat mengikut kesalahan pemalsuan dan penipuan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga