PUTRAJAYA, 18 Jun — Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan ganti rugi am yang diberikan kepada penasihat DAP Lim Guan Eng daripada RM1.05 juta kepada RM450,000 dalam saman fitnah yang difailkan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan pembatalan pengecualian cukai untuk Yayasan Albukhary.
Panel tiga hakim sebulat suara
Panel tiga anggota yang terdiri daripada Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan selepas membenarkan sebahagian rayuan Muhyiddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Azhahari berkata selepas meneliti tiga kenyataan yang dipertikaikan bertarikh 9, 11 dan 12 Mac 2023, Mahkamah Tinggi adalah betul dalam mendapati kenyataan tersebut adalah fitnah dan tiada sebab untuk mengganggu dapatan fakta ini.
Ganti rugi dikurangkan
“Mengenai isu kuantum, setelah mempertimbangkan corak peristiwa dan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan, kami berpendapat bahawa ganti rugi am yang diberikan adalah terlalu tinggi.
“Sehubungan itu, mahkamah ini memberikan RM150,000 bagi setiap tiga kenyataan tersebut menjadikan RM450,000. Oleh itu, kami menggantikan jumlah RM1.05 juta dengan RM450,000,” katanya.
Panel itu juga mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dalam memberikan RM150,000 untuk ganti rugi teruk dan RM150,000 untuk ganti rugi teladan kepada Lim.
Rayuan balas Lim diperkenan
Walau bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan balas Lim mengenai faedah dan memerintahkan faedah dibayar pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian penuh.
Panel itu mengarahkan Muhyiddin membayar kos RM5,000 kepada Lim, manakala bekas ketua menteri Pulau Pinang itu diarah membayar kos RM30,000 kepada bekas perdana menteri.
Latar belakang kes
Pada 27 Mac 2023, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa membuat tiga kenyataan fitnah di Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang melibatkannya dalam isu pengecualian cukai.
Laporan mengenai perkara itu kemudiannya diterbitkan dalam beberapa akhbar dan portal berita.
Pada November 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Lim dan memerintahkan Muhyiddin membayar RM350,000 bagi setiap tiga kenyataan tersebut menjadikan RM1.05 juta ganti rugi am, RM150,000 ganti rugi teruk dan RM150,000 ganti rugi teladan. — Bernama



