Dua pekerja IT didakwa rasuah pegawai TNB RM56,000
Dua pekerja IT didakwa rasuah pegawai TNB RM56,000

SHAH ALAM: Dua pekerja sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) lebih enam tahun lalu. Lai Chung Lam dan Lee Chee Yong berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana didakwa membayar RM56,000 kepada pegawai tersebut bagi mendapatkan maklumat berkaitan operasi serbuan TNB terhadap kegiatan perlombongan bitcoin.

Mereka turut berdepan lima pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan kerana didakwa menawarkan jumlah wang yang sama sebagai ganjaran untuk memperoleh maklumat mengenai serbuan berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Sunway antara 28 Ogos 2020 hingga 10 Mei 2021.

Hukuman Jika Sabit Kesalahan

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, Lai dan Lee boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang didakwa diberikan. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan pula, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda jika disabitkan kesalahan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Jaminan dan Pengurusan Kes

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Mahkamah turut memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing sehingga kes selesai. Pengurusan kes ditetapkan pada 14 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub manakala Lai dan Lee diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga