Bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz, hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebagai saksi ke-11 pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul tiba di kompleks mahkamah jam 8.30 pagi
Tengku Zafrul, 53, yang kini merupakan penasihat politik kanan kepada perdana menteri, tiba di kompleks mahkamah pada jam 8.30 pagi. Beliau memberi keterangan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin.
Muhyiddin, 78, yang merupakan bekas perdana menteri dan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika kejadian, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, serta Azman Yusoff, yang didakwa untuk kepentingan Bersatu.
Pertuduhan di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram
Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021, di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Sekiranya sabit kesalahan, hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga berdepan tiga pertuduhan menerima RM200 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang didepositkan ke dalam akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.



