KUALA LUMPUR, 24 April — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas aset tidak bergerak bernilai kira-kira RM18.36 juta membabitkan 14 hartanah sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan penyelewengan dana oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Rampasan termasuk banglo RM10 juta
Dalam satu hantaran di TikTok, SPRM memaklumkan rampasan itu merangkumi tujuh hartanah kediaman bernilai RM15.53 juta, antaranya sebuah banglo bernilai RM10 juta.
Ia juga membabitkan tiga unit pejabat bernilai RM1.53 juta dan empat bidang tanah bernilai RM1.3 juta yang terletak di Kundang, Marang dan Temasya Glenmarie.
“Jumlah nilai aset yang dirampas dianggarkan RM18.36 juta berdasarkan nilai pasaran semasa,” demikian menurut hantaran tersebut.
Siasatan lanjut penyelewengan dana
Rampasan itu dilakukan bagi memudahkan siasatan lanjut terhadap dakwaan penyelewengan dana NGO berkenaan.
Semalam, SPRM mengesahkan bahawa kes ini melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta daripada sumbangan awam, bukan dana zakat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber, termasuk komisen daripada kutipan tertentu yang sepatutnya disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Dua lelaki berusia 50-an dan 60-an, termasuk timbalan pengerusi NGO itu, telah direman selama empat hari sehingga 25 April selepas ditangkap pada Selasa lepas untuk membantu siasatan. — Bernama



