SPRM sahkan kes seleweng RM230 juta tidak libat institusi zakat
SPRM: Kes seleweng RM230 juta tidak libat institusi zakat

Kes penyelewengan dana berjumlah RM230 juta yang melibatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tidak membabitkan sumber dana daripada institusi zakat di Malaysia, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Siasatan diperluas

Beliau berkata siasatan setakat ini mendapati penyelewengan berlaku dalam NGO berkenaan. NGO tersebut menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber, termasuk komisen daripada kutipan tertentu, untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Bagaimanapun, dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya. Sebaliknya, ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

SPRM kini memperluas skop siasatan dan komited untuk memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

Dua lelaki direman

Terdahulu, media melaporkan dua lelaki termasuk seorang timbalan pengerusi NGO direman empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis untuk siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan penyelewengan antara tahun 2018 hingga 2024. Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO itu memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.

SPRM mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. Kes ini disiasat dengan teliti untuk memastikan keadilan dan integriti kewangan negara terpelihara.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga