ALOR SETAR, 30 Mei — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah sedang menyiasat tiga kes penyalahgunaan kad armada dan menilai semula syarikat yang diberikan kemudahan itu bagi mengelakkan penyelewengan bahan api bersubsidi.
Penyiasatan dan penilaian semula
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kedah, Zalina Aziz, berkata pihaknya turut menilai semula syarikat yang diberikan kemudahan kad armada bagi memastikan ia tidak disalah guna atau melanggar syarat yang ditetapkan.
“Jika sebarang pelanggaran syarat atau penyalahgunaan dikesan, kami akan mengesyorkan pembatalan kad armada kepada ibu pejabat,” katanya kepada Bernama.
Op Tiris Bersepadu 4.0
Mengenai pelaksanaan Op Tiris Bersepadu 4.0 yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain, beliau berkata KPDN merekodkan 30 kes di negeri ini, terdiri daripada 16 melibatkan rampasan diesel dan 14 melibatkan petrol.
“Op Tiris yang dijalankan sejak 16 Mac mencatatkan rampasan bernilai RM1.4 juta, dengan 26 kenderaan turut dirampas,” katanya.
Kekangan penguat kuasa
Zalina berkata KPDN Kedah kini mempunyai kira-kira 190 pegawai penguat kuasa di lima cawangan seluruh negeri, tetapi masih berdepan kekangan dalam memantau kesemua 362 stesen minyak di negeri ini.
Beliau berkata 30 stesen minyak berada di bawah pemantauan khas, termasuk 18 di kawasan sempadan seperti Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Baling.
“Di kawasan perindustrian seperti Sungai Petani dan Kulim, cabaran lebih besar disebabkan banyak laluan masuk dan keluar serta kawasan kilang yang luas, menjadikan aktiviti penyeludupan minyak sukar diramal,” katanya.
Modus operandi penyeludup
Selain itu, katanya, beberapa pihak didapati kerap menukar kenderaan dan nombor pendaftaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, serta menjalankan operasi pada awal pagi ketika pekerja stesen minyak kurang.
“Namun, kerjasama erat dengan PDRM membantu dari segi pengumpulan risikan dan operasi lapangan, di samping meningkatkan keselamatan pegawai penguat kuasa semasa operasi,” tambahnya. — Bernama



