Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia bagi memperluas akses bantuan guaman syarie melalui Program Bantuan Guaman Syarie. Pengumuman itu dibuat semasa beliau merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 di Putrajaya hari ini.
Akses keadilan untuk golongan miskin dan ibu tunggal
Menurut Anwar, akses kepada keadilan perlu diberi perhatian kerana masih ramai, khususnya golongan miskin dan ibu tunggal, berdepan kesukaran mendapatkan representasi guaman di Mahkamah Syariah. “Kita ada perundangan yang baik, mahkamah yang baik, peguam yang baik dan hakim yang baik, tetapi masalah akses itu belum tentu. Selalunya dalam sistem perundangan, orang yang berkemampuan mendapat peguam terbaik, tetapi orang paling miskin kadang-kadang tidak ada akses,” katanya.
Perkara 121(1A) tidak jejas hak bukan Islam
Mengulas evolusi institusi kehakiman syariah, Anwar menegaskan bahawa sebarang usaha memperkasa Mahkamah Syariah, termasuk cadangan penambahbaikan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak pernah bertujuan menjejaskan hak penganut agama lain. Matlamat utama pindaan itu sejak diperkenalkan pada akhir 1980-an adalah untuk mengukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal ehwal umat Islam tanpa mengganggu urusan agama bukan Islam. “Kita tidak sama sekali mahu melanggar hak bukan Islam. Apa yang kita hendak tegakkan ialah keadilan dan tidak menafikan hak bukan Islam dalam urusan agama mereka. Mahkamah sivil tidak ada hak untuk mengganggu urusan Mahkamah Syariah mengenai hukum Islam dan masyarakat Islam. Bagi saya, itu sangat adil,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa kerajaan perpaduan mengabaikan agenda memperkasa institusi Islam. Sepanjang lebih tiga tahun menjadi perdana menteri, Anwar berkata belum ada satu pun cadangan berkaitan penambahan peruntukan atau kedudukan Mahkamah Syariah yang dibantah mana-mana menteri, termasuk menteri bukan Melayu.
Cadangan perbincangan khas untuk perkasa Mahkamah Syariah
Anwar mencadangkan perbincangan khas membabitkan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Hakim Mahkamah Syariah serta wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sesi itu penting bagi membolehkan kerajaan meneliti cadangan daripada pengamal undang-undang syariah untuk meningkatkan keupayaan serta martabat Mahkamah Syariah. “Pandangan yang dirasakan perlu dan harus diberi perhatian, saya akan beri keutamaan,” tegasnya.



