PAS akan membuat keputusan berhubung hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) pada mesyuarat jawatankuasanya esok malam, kata Presiden Abdul Hadi Awang.
“Besok Insya-Allah hari Isnin, kita mesyuarat malam,” katanya ketika diminta mengulas bila pimpinan parti itu akan bermesyuarat bagi menentukan hubungan PAS dan Bersatu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu merasmikan buku perang Iran-Israel di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Hubungan antara kedua-dua rakan komponen dalam PN itu semakin tegang selepas Hadi menyatakan PAS akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak selari dengan semangat setia kawan.
Pada 22 Mei lalu, Hadi memberi amaran kepada Bersatu yang dipimpin bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’.
Antara perkara yang dibangkitkan Hadi adalah penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri, perkembangan di Perlis yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu, dan campur tangan dalam pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.
Turut disentuh adalah pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju dengan usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam tertentu ke dalam PN.



