PETALING JAYA: Umno dilaporkan mencadangkan kepada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) supaya keluar daripada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menyertai Barisan Nasional (BN).
Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata cadangan berkenaan dibangkitkan dalam satu pertemuan antara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Presiden MIPP, P Punithan, awal minggu ini. Pertemuan itu turut dihadiri beberapa pemimpin kanan Umno.
“Umno mengadakan perbincangan dengan MIPP untuk menjemput mereka menyertai BN,” kata sumber itu kepada FMT.
“Banyak perkara telah dibincangkan, termasuk agihan kerusi dan beberapa tawaran besar lain kepada parti itu,” katanya.
Sumber itu mendakwa sokongan MIPP yang semakin meningkat dalam kalangan pengundi muda India telah menarik perhatian Umno.
“Kebangkitan MIPP menjadi antara sebab utama Umno mahu parti itu menyertai BN,” katanya.
Sementara itu, seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan berlakunya pertemuan antara Umno dan MIPP.
Ketika dihubungi, Punithan memberikan jawapan ringkas dengan berkata parti itu “akan memaklumkan sebarang perkembangan pada masa yang sesuai”.
Sumber yang rapat dengan Punithan berkata beliau telah memanggil mesyuarat jawatankuasa pusat parti yang akan diadakan dalam tempoh seminggu.
MIPP menyertai PN pada April 2024. Ketika itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kemasukan MIPP diluluskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang dipengerusikan oleh pengerusi PN ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Parti itu menjadi parti komponen pertama berasaskan masyarakat India dalam PN selepas memohon menyertai gabungan tersebut pada penghujung 2023 dengan alasan bahawa PN tidak mempunyai wakil langsung daripada komuniti India.



