PETALING JAYA: MCA tidak mahu bercakap besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, namun yakin parti itu berpotensi menambah kerusi berdasarkan prestasi wakil rakyat dalam kerajaan negeri sepanjang penggal lalu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata kredit harus diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lee Ting Han (Paloh) dan Ling Tian Soon (Yong Peng). Lee merupakan exco pelaburan, perdagangan, dan hal ehwal pengguna, manakala Ling memegang portfolio sumber manusia, kesihatan, dan alam sekitar dalam pentadbiran Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
“Dua orang Adun ini walaupun kali pertama menjadi exco tetapi telah membuktikan mereka boleh bekerjasama dan membantu kerajaan, khususnya dalam aspek pelaburan, malah turut dipuji oleh menteri besar,” kata Neow kepada FMT.
“Inilah imej baru MCA yang terdiri daripada kalangan profesional muda yang ikhlas, bukan sahaja berkhidmat kepada rakyat tetapi juga membantu usaha pembangunan negeri.”
Neow yakin rakyat mampu menilai prestasi pentadbiran Onn Hafiz. “Saya tidak nampak sebab rakyat mahu mengambil risiko menukar kerajaan ketika pembangunan Johor berada pada momentum yang sangat baik.”
Pada Mac lalu, Onn Hafiz merujuk kepada pelaburan yang diluluskan untuk Johor sebanyak RM110 bilion bagi tahun 2025 sebagai bukti kemajuan ekonomi negeri, dan menambah bahawa projek-projek tersebut dijangka menjana 24,584 peluang pekerjaan untuk rakyat. Beliau berkata kejayaan Johor dicerminkan melalui transformasi ke arah struktur ekonomi yang semakin matang dan kompetitif, dipacu sebahagiannya oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Akhirnya yang rugi ialah rakyat sendiri jika momentum pembangunan ini terganggu,” kata Neow.
Mengenai agihan kerusi, Neow memaklumkan Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan perkara itu. Ditanya mengenai calon-calon berpotensi, Neow berkata beliau yakin Onn Hafiz selaku pengerusi BN Johor sudah mempunyai orang yang ingin bersama dengannya.
“Onn Hafiz seorang yang turun padang. Saya tidak nampak beliau seorang yang bubar dulu baru hendak cari calon dan sebagainya,” katanya.
Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada Isnin lepas, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Barisan Nasional akan mempertahankan 40 kerusi daripada 56 kerusi di DUN, manakala Pakatan Harapan memegang 12 kerusi, Perikatan Nasional tiga kerusi, dan Muda satu kerusi.



