Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, menolak laporan yang mendakwa beliau bakal mengambil alih Parti Cinta Malaysia (PCM). Beliau menyifatkan perkara itu sebagai 'hanya spekulasi' pihak tertentu.
Menurut laporan Berita Harian, Hamzah berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis perkahwinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Najmuddin Elias, di Kampung Paya, Larut, hari ini.
Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan bahawa Hamzah didakwa sedang berunding dengan pimpinan PCM untuk mengambil alih parti itu, termasuk merancang meletakkan bekas pemimpin Bersatu sebagai calon dalam pilihan raya akan datang.
PCM merupakan sebuah parti yang berpangkalan di Pulau Pinang dan ditubuhkan pada 2009 oleh bekas naib presiden Gerakan, Huan Cheng Guan. Parti itu menjadi ahli bersekutu Barisan Nasional (BN) pada April 2019.
Laporan yang mengaitkan Hamzah dengan PCM adalah perkembangan terbaru dalam usahanya mencari kenderaan politik selepas dipecat Bersatu pada 13 Februari lalu. Pada Mac, beliau dikatakan sedang berunding untuk mengambil alih Parti Keluarga Malaysia yang kurang dikenali.
Menjelang akhir Mei, FMT memetik sumber yang menyatakan bahawa Hamzah akan melancarkan parti baharu pada pertengahan Jun di Kuala Lumpur. Utusan Malaysia pula melaporkan pelancaran itu mungkin berlangsung di 'Konvensyen Reset' sebelum Dewan Rakyat bersidang pada 22 Jun.
Mengenai pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang, Hamzah berkata kerjasama dengan PAS akan menjadi tonggak utama strategi politiknya di kedua-dua negeri.
“Buat masa ini, hubungan erat yang kami jalin dengan PAS akan digunakan untuk merangka pendekatan politik yang mampu menjamin kestabilan, kemakmuran, dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri,” katanya.
“Kami sedang membincangkan masa depan, dan masa depan itu bukanlah masa depan parti saya semata-mata,” tambahnya.



