Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mencadangkan agar PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya, berikutan pertikaian mengenai kekuatan jentera parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Tiada harapan untuk kerjasama harmoni
Beliau berkata, tiada harapan untuk kerjasama harmoni jika kenyataan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera disifatkan sebagai pandangan ‘pekak’. Fadhli merujuk penularan video ceramah Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, di Melaka malam tadi yang mengeluarkan label tersebut.
Beliau turut mengaitkan kebimbangannya dengan tindakan Bersatu dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan, yang menurutnya menimbulkan persoalan sama ada parti itu boleh membuat pertimbangan sendiri dalam pembentukan kerajaan persekutuan selepas PRU16.
Cadangan bergerak berasingan
“Secara peribadi saya cadangkan jalan terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau. Selamat Maju Jaya,” kata Fadhli di Facebook.
Presiden PAS, Hadi Awang, pada 22 Mei lalu mendakwa Bersatu hanya menuntut jumlah calon pada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk berkempen. Menurutnya, keadaan itu menyebabkan PAS terpaksa mengerahkan jenteranya turun ke lapangan.
Hadi turut mengkritik tindakan Bersatu di Perlis yang menyaksikan peralihan jawatan menteri besar kepada parti itu daripada PAS. Berhubung krisis politik di Negeri Sembilan, Hadi mempersoalkan tindakan dua Adun Bersatu menarik balik sokongan untuk membentuk kerajaan negeri bersama Umno.
Kelemahan perlu diakui
Mengulas lanjut, Fadhli berkata, bukan satu kesalahan jika sesebuah parti tidak mempunyai jentera kuat, apatah lagi jika parti itu masih baharu. Namun, katanya, masalah timbul apabila kelemahan itu gagal diakui sehingga keputusan politik dibuat atas keyakinan yang tidak mencerminkan kekuatan sebenar.
“Yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu. Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya,” katanya.



