PETALING JAYA: Bersatu tidak mempunyai hak untuk menghalang PAS menentukan hala tuju mereka, sekiranya bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang boleh menguntungkan perpaduan Melayu, kata Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.
Beliau yang juga dikenali sebagai Peja berkata, parti itu percaya masih banyak parti lain yang akan bersama mereka, walaupun tanpa kerjasama PAS. “Kalau itu pendirian PAS, kalau itu yang mereka fikir boleh menguntungkan perjuangan dan perpaduan orang Melayu dan sebagainya, apa daya kami lagi? Kita pun tidak boleh cakap apa. Tetapi saya percaya ramai lagi akan bersama dengan kami,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Kenyataan Peja ini susulan cadangan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mencadangkan kedua-dua parti itu bergerak secara berasingan dalam pilihan raya, berikutan pertikaian mengenai kekuatan jentera parti dalam Perikatan Nasional (PN). “Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya,” kata Fadhli semalam, sambil menambah tiada harapan untuk kerjasama harmoni jika kenyataan bahawa Bersatu tiada jentera disifatkan sebagai pandangan ‘pekak’.
Pada 22 Mei lalu, Presiden PAS, Hadi Awang, mendakwa Bersatu hanya menuntut jumlah calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi tidak mempunyai jentera yang mencukupi untuk berkempen. Menjawab perkara itu, Peja menegaskan bahawa parti yang berhasrat mentadbir negara tidak boleh bergerak solo, sebaliknya perlu bekerjasama dengan parti politik lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki hala tuju perjuangan yang sama.
“PN sudah diterima ramai orang Melayu, malah menjadi harapan orang Melayu sehingga mampu memperoleh jumlah kerusi yang banyak pada PRU15, tetapi kalau itulah keputusan (bergerak solo) yang dibuat PAS, Bersatu terima,” ujarnya.



