Lebih tiga bulan tanpa perkembangan, pemimpin Bersatu kembali membangkitkan gesaan supaya Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) segera ditubuhkan. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin, membuat gesaan itu ketika hubungan gabungan tersebut kembali memanas selepas Presiden PAS, Hadi Awang, memberi kata dua kepada Bersatu pada Jumaat lalu.
Gesaan tubuh Majlis Presiden PN
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu, segala isu berbangkit dalam PN boleh dibincangkan menerusi majlis presiden dan diselesaikan secara harmoni melalui saluran dalaman tanpa menimbulkan perdebatan terbuka. “Penubuhan Majlis Presiden PN wajib disegerakan,” katanya kepada FMT.
Pada Januari lalu, sumber dalaman Bersatu melaporkan persetujuan dicapai dalam pertemuan antara pemimpin PAS dan Bersatu, yang mana Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan diberi peranan sebagai pengerusi majlis presiden, manakala pemimpin PAS akan mengetuai tugas pentadbiran. Cadangan itu timbul selepas peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN ketika krisis politik di Perlis menyaksikan pentadbiran Menteri Besar beralih daripada PAS kepada Bersatu. Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.
Kata dua Hadi Awang
Hadi pada Jumaat memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran PAS ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN, termasuk membangkitkan kemelut di Negeri Sembilan dan Perlis. Ahli Parlimen Marang itu menegaskan pendirian terbaru Bersatu yang didakwa tidak bersetuju dengan usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke dalam PN turut menjadi isu.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkaitan permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu. Difahamkan, ketiadaan keputusan itu susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu tersebut akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, yang mendakwa disokong 18 Ahli Parlimen Bersatu, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN. Bagaimanapun, Bersatu menerusi biro politiknya semalam menafikan dakwaan tersebut.



