Seramai 300 orang, termasuk 12 pemimpin yang dipercayai daripada kumpulan ajaran sesat Jemaah Ahmadiyah Qadiani, ditahan di dewan sebuah sekolah di Likas, Sabah, kelmarin. Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata operasi itu dijalankan hasil aduan awam yang diterima oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berhubung penganjuran program yang berlangsung dari Jumaat hingga Sabtu lalu.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati program tersebut dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Sabah serta diwartakan pada tahun 2007. Dalam operasi tersebut, seramai 300 individu ditahan untuk membantu siasatan, terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah. Program ini turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah.
Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan ajaran itu, termasuk 24 helai banting yang memaparkan gambar pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani, kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran berkenaan, dokumen program, serta senarai kehadiran. Semua yang ditahan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS mengikut Seksyen 52(1), 52A dan 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995, sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Syed Lot menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf, serta merujuk pihak berkuasa agama jika mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman yang diajar dan disebarkan. Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam.



