Permohonan SPRM halang Naimah Khalid urus aset di Jersey didengar 13 Ogos
SPRM halang Naimah urus aset di Jersey didengar 13 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 13 Ogos depan untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghalang Naimah Khalid daripada menguruskan aset luar pesisir di Jersey, sebuah wilayah naungan Mahkota British.

Permohonan Ketiga Difailkan

SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan untuk menghalang balu Daim Zainuddin itu atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berjumlah USD157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion) yang terletak di wilayah berkenaan. Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh tersebut semasa prosiding pengurusan kes yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, mewakili Naimah. Naimah dikecualikan kehadiran pada prosiding hari ini.

Pada 25 Jun tahun lepas, SPRM memfailkan permohonan itu mendakwa aset berkenaan diperoleh Naimah atau individu yang mempunyai kaitan dengan beliau di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ia merupakan permohonan ketiga difailkan pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom (UK) dan Singapura. Pada 19 Jun 2025, SPRM memfailkan permohonan untuk menghalang Naimah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan GBP21 juta (kira-kira RM121 juta) dan USD99 juta (kira-kira RM423 juta) di Singapura. Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Mei 2026 menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah larangan terhadap wang pelaburan berkenaan.

Kes The Ilham Foundation

Sementara itu, bagi kes membabitkan The Ilham Foundation, mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk keputusan permohonan Naimah bagi membatalkan permohonan SPRM membekukan beberapa bangunan komersial dan kediaman di London, UK bernilai GBP132 juta. Pada 22 Mei 2025, Azam Baki, yang ketika itu ketua pesuruhjaya SPRM mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi. Azam berkata maklumat terkini menunjukkan aset terbabit tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga