Serentakkan semula pilihan raya. Puncanya berbeza, kesannya sama dan negara terperangkap dalam kempen tanpa henti. Dalam masa beberapa hari sahaja, dua DUN telah dibubarkan iaitu Johor pada 1 Jun dan Negeri Sembilan selang empat hari kemudiannya. Kedua-duanya sebelum tamat penggal, sedangkan PRU16 dijangka tahun depan.
Punca Berbeza, Kesan Sama
Di Negeri Sembilan, pembubaran menyusuli penarikan sokongan 14 Adun Umno-Barisan Nasional (BN) yang menjejaskan majoriti kerajaan manakala di Johor pula lebih bersifat strategik. Puncanya berbeza, tetapi kesannya sama: dua lagi pilihan raya negeri yang diadakan secara berasingan, di luar kitaran PRU. Maka tibalah masanya untuk satu cadangan yang semakin mendesak pilihan raya negeri wajar diserentakkan semula dengan pilihan raya umum.
Sejarah Kitaran Terungkai
Dahulu, pilihan raya negeri di Semenanjung dan Sabah diadakan serentak dengan PRU setiap lima tahun (Sarawak menjadi pengencualian). Kitaran itu terungkai selepas Langkah Sheraton 2020 di mana Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor mengadakan pilihan raya secara berasingan. Pada PRU15 hanya tiga negeri membubarkan DUN serentak dengan Parlimen, manakala enam negeri lain menyusul pada Ogos 2023. Sejak itu, negara tidak pernah benar-benar berhenti berkempen Sabah pada 2025, kini Johor dan Negeri Sembilan pada 2026. Sementara itu, Melaka dan Sarawak masih menanti giliran.
Kesan Negatif PRN Berasingan
Walaupun pilihan raya negeri secara perlembagaan ialah urusan negeri, hakikatnya sudah tidak ada lagi PRN yang benar-benar bersifat negeri. Pemimpin parti nasional turun berkempen, isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) peringkat nasional dibakar dan setiap PRN bertukar menjadi ujian ke atas Putrajaya. Negara menanggung seluruh kos sentimen nasional yakni perpecahan dan ketegangan kaum serta agama semata-mata untuk satu pentadbiran negeri. Lebih menggusarkan apabila pilihan raya berlaku berperingkat-peringkat, negara sentiasa dalam mod berkempen dan tidak pernah dalam mod memerintah sepenuhnya. Dalam keadaan begitu, mustahil untuk membina kestabilan kerana pembaharuan berjangka panjang akan ditangguh dan setiap dasar dibaca melalui kaca mata pilihan raya berikutnya.
Penjimatan Kos
Hujah penjimatan pula disokong angka. Data Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan PRU15 menelan belanja kira-kira RM725 juta dan pilihan raya enam negeri 2023 menambah RM420 juta lagi perbelanjaan yang sebahagian besarnya boleh dielakkan jika diadakan serentak kerana kos tetap seperti petugas, pusat mengundi, logistik dan keselamatan dikongsi sekali sahaja. Dalam keadaan rakyat ditekan kos sara hidup, sukar untuk mewajarkan ratusan juta ringgit dibelanjakan berulang kali hanya kerana parti gagal menyelaraskan kalendar mereka. Tambahan pula, PRN berasingan biasanya mencatat peratusan keluar mengundi yang lebih rendah serentak memberi kerajaan negeri mandat yang lebih kukuh.
Cabaran dan Harga
Benar cadangan ini ada harganya di mana isu tempatan boleh tenggelam di bawah ombak nasional, dan keluwesan negeri berkurang. Namun apabila setiap ‘penilaian’ rakyat bukan lagi penilaian dasar sebaliknya pertarungan sentimen, kekerapan bukan lagi tanda demokrasi yang sihat, tetapi punca keletihan dan perpecahan. Diakui penyelarasan ini tidak boleh sekadar diarahkan oleh Putrajaya kerana pembubaran setiap DUN bergantung pada perkenan Raja negeri masing-masing. Ia soal kemahuan politik dan disiplin bersama iaitu kesanggupan setiap pemimpin negeri menahan diri daripada membubarkan DUN mengikut perkiraan untung-rugi parti.
Di situlah ujian sebenarnya bukan siapa yang menang di Johor atau Negeri Sembilan, tetapi sama ada negara ini cukup matang untuk memberi dirinya ruang untuk bernafas dan membina.



