Rakyat mahukan politik matang, kata Zahid Hamidi
Rakyat mahukan politik matang: Zahid

KUALA LUMPUR: Rakyat mahukan politik matang, kepimpinan bertanggungjawab serta penyelesaian yang mampu mendepani cabaran semasa dalam landskap dunia yang semakin kompleks, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sempena 52 tahun penubuhannya, BN mesti terus bergerak ke hadapan dengan semangat pembaharuan, berpaksikan pengalaman dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan tuntutan masa depan.

Medan pilihan raya umum

“Percayalah, perjalanan di hadapan tidak akan sentiasa mudah. Kita akan berdepan pelbagai medan sehingga medan terbesar pilihan raya umum tidak lama lagi,” katanya di Facebook.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan penyokong untuk terus teguh bersatu, setia kepada perjuangan serta memahami denyut nadi rakyat bagi memastikan gabungan itu kembali memperoleh mandat yang lebih kukuh.

Sejarah BN dan komitmen

Presiden Umno berkata, genap 52 tahun yang lepas, BN ditubuhkan sebagai sebuah gabungan politik yang lahir daripada semangat persefahaman, kesederhanaan dan kesediaan untuk membina negara melalui kerjasama pelbagai kaum serta latar belakang.

Zahid berkata, sepanjang lebih lima dekad, BN telah melalui pelbagai fasa perjuangan termasuk era memimpin pertumbuhan negara serta mendepani ujian yang menuntut ketabahan dan muhasabah.

“Namun, satu perkara yang tidak pernah berubah ialah komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan mempertahankan kestabilan negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli dan jentera yang terus setia mendukung perjuangan BN.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga