Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang dijangka menjadi ujian besar pertama bagi kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti dalam gabungan longgar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), kata Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Menurut beliau, pilihan raya tersebut juga mungkin menyaksikan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bertanding buat kali pertama sebagai parti komponen PN. "Pelaksanaan 'electoral pact' bersama parti-parti bukan anggota dalam IPR adalah antara perkara yang belum teruji berikutan keputusan Majlis Tertinggi PN untuk meneroka kerjasama dengan parti-parti bukan anggota. (Pilihan raya ini juga) akan menilai tahap penerimaan pengundi pelbagai kaum terhadap gagasan PN Plus," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Diterajui oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, IPR dianggotai 11 parti pembangkang, termasuk PAS, Bersatu, Gerakan, Muda, Berjasa, Pejuang dan Putra. Bagaimanapun, ketiadaan wakil PAS dalam mesyuarat IPR baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai penyertaan berterusannya dalam gabungan tersebut.
Kenyataan Tun Faisal menyusuli gesaan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man semalam agar PAS dan Umno bekerjasama pada PRN Johor akan datang, menyifatkannya sebagai masa yang tepat untuk menghidupkan semula pakatan Muafakat Nasional (MN) yang kini terkubur. Tuan Ibrahim berkata, kerjasama antara dua parti Melayu-Islam utama di negara ini amat diperlukan dan PRN tersebut boleh merintis penjajaran semula politik baharu.
Pakatan MN antara Umno dan PAS dimeterai pada 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan. Perikatan itu akhirnya terlerai selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu pada tahun berikutnya. Susulan tercetusnya Parlimen tergantung selepas PRU 2022, Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno membentuk kerajaan perpaduan bersama PH. Bagaimanapun, BN akan bertanding solo pada PRN Johor, yang akan mencetuskan pertembungan dengan sekutunya pada peringkat persekutuan, selain PN.



