PAS Johor tiada masalah Bersatu cari kawan baharu untuk PRN Johor
PAS Johor tiada masalah Bersatu cari kawan baharu

PETALING JAYA: PAS Johor menganggap tindakan Bersatu bergerak lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sesuatu yang wajar, memandangkan kedua-dua parti kini tidak lagi terikat dengan sebarang kerjasama politik.

PAS Johor tiada masalah Bersatu cari kawan baharu

Pesuruhjaya PAS Johor, Mahfodz Mohamed, berkata Bersatu tidak perlu menunggu sebarang ‘isyarat’ daripada PAS untuk menggerakkan jentera pilihan raya kerana masing-masing kini bebas menentukan haluan sendiri.

Menurutnya, PAS Johor tiada masalah dengan kerjasama Bersatu bersama parti lain termasuk ‘kawan’ baharu dari Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) seperti yang dinyatakan Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bila PAS hentikan hubungan dengan Bersatu, memanglah kita tidak bersama pada PRN Johor… masing-masing cari kawan. Sebagai parti politik, mereka kena bergerak untuk ‘move forward’,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Faizal yang menyatakan parti itu bergerak dahulu bersama komponen Perikatan Nasional (PN) dan IPR bagi menghadapi PRN Johor yang dijadualkan pada 11 Julai depan.

Faizal mendakwa Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, masih belum memanggil mesyuarat gerak kerja jentera PRN16 Johor, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah lebih dua minggu dibubarkan. Menurutnya, Bersatu tidak boleh terus menunggu ‘isyarat PAS’ kerana sebarang kelewatan hanya akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

PAS tidak tolak jajaran politik baharu

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata PAS juga tidak menolak kemungkinan membina jajaran politik baharu selepas ini, mengambil kira pengalaman panjang parti itu bekerjasama dengan pelbagai pihak sebelum ini.

“Mereka pun ada jajaran baharu, kita pun ada kawan juga nanti. Dalam politik ini ada dinamik. Kawan tidak selama-lamanya kawan, musuh tidak selama-lamanya musuh. Ikut keadaan masing-masing,” katanya sambil mengimbau kerjasama PAS antaranya dengan DAP dan Semangat 46.

Kemelut dalaman PN tercetus selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu. Keadaan juga tegang apabila Presiden PAS, Hadi Awang, mengumumkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Hamzah Zainudin akan dibenar menggunakan logo PN untuk bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Hamzah dipecat Bersatu pada Februari lalu susulan kemelut pimpinan yang menyaksikan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, didesak meletak jawatan presiden.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga