Malaysia alami suasana perayaan unik dengan Aidiladha, Wesak, Kaamatan dan Gawai
Malaysia alami suasana perayaan unik dengan Aidiladha, Wesak, Kaamatan dan Gawai

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Malaysia bakal menyaksikan suasana perayaan yang luar biasa apabila masyarakat pelbagai kaum dan agama menyambut beberapa perayaan utama yang jatuh hampir serentak dalam musim cuti sekolah.

Keunikan kepelbagaian Malaysia akan terserlah apabila umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei, penganut Buddha menyambut Hari Wesak (31 Mei), manakala komuniti Kadazandusun dan Dayak masing-masing menyambut Pesta Kaamatan (30 dan 31 Mei) serta Gawai (1 dan 2 Jun).

Suasana perayaan akan bertambah meriah dengan sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun, menjanjikan cuti panjang yang bakal dimanfaatkan ramai rakyat Malaysia untuk bersama keluarga.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Bagi pekerja sektor acara Nurfatihah Sagir, 27, sambutan Aidiladha tahun ini amat dinantikan kerana memberi peluang menebus masa bersama keluarga selepas tidak dapat pulang semasa Aidilfitri, selain menyertai ibadah korban untuk merenung erti pengorbanan.

“Saya berharap Aidiladha ini menjadi detik bermakna, bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi juga mengingatkan saya tentang nilai kekeluargaan dan kebersamaan,” katanya.

Manakala pekerja swasta Wong Yee Tian, 26, menggambarkan sambutan Wesak sebagai peluang terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga sambil menyertai aktiviti keagamaan di tokong.

“Cuti panjang seperti ini sentiasa dinanti kerana kami dapat berehat dan berkumpul bersama keluarga. Pada masa sama, kami juga dapat melihat rakyat Malaysia berbilang kaum menikmati cuti dan melancong bersama,” katanya.

Bagi pelajar universiti awam K. Viggneshwary, 21, dari Kulim, dia bertekad memanfaatkan cuti untuk pulang ke kampung halaman, walaupun mengakui kenaikan kos pengangkutan.

Katanya, walaupun harga tiket bas dan kereta api cenderung meningkat semasa musim cuti, peluang pulang ke kampung dan berjumpa keluarga tetap berbaloi.

Bagi wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Lucia Terey John, 39, musim cuti dan sambutan Gawai kali ini amat bermakna kerana memberi peluang pulang ke kampung di Sarawak dan berjumpa keluarga.

“Peluang pulang ke kampung menyambut Gawai bersama keluarga di kampung amat bermakna bagi saya kerana biasanya hanya dapat pulang setahun sekali,” katanya.

Sementara itu, sektor pelancongan domestik turut meraih manfaat dengan peningkatan tempahan bilik hotel di destinasi popular apabila ramai rakyat tempatan bercuti bersama keluarga.

Di sebalik kemeriahan, ahli ekonomi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan pengurusan kewangan yang berhemah.

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, Profesor Madya Kewangan di Universiti Kuala Lumpur Business School, berkata perbelanjaan berhemah adalah kunci di tengah ketidaktentuan ekonomi global dan harga minyak dunia yang turun naik.

Beliau berkata walaupun ekonomi negara kekal stabil, rakyat perlu lebih berhati-hati mengurus kewangan memandangkan kos sara hidup dilihat meningkat hampir seiring dengan pertumbuhan pendapatan.

“Kita tidak boleh mengawal harga minyak dunia atau ketidaktentuan ekonomi global, tetapi kita boleh mengawal cara kita berbelanja dan mengurus kewangan keluarga,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan mengelakkan hutang pengguna yang tidak perlu, seperti menggunakan skim ‘beli sekarang, bayar kemudian’ untuk barangan tidak penting.

Katanya, tabiat membandingkan harga, menggunakan insentif pembayaran digital dan mengekalkan dana kecemasan juga penting untuk membantu rakyat menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.

“Ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh apabila rakyat berbelanja secara bijak dan berhemah, selaras dengan seruan kerajaan supaya masyarakat mengamalkan pengurusan kewangan yang baik untuk kesejahteraan jangka panjang,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan itu juga selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat mengamalkan budaya berbelanja berhemah dan pengurusan kewangan yang lebih mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga