PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegur Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali supaya lebih berhati-hati dalam memberikan kenyataan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Fahmi berkata, Hisyamuddin perlu memastikan kenyataannya tidak membuka ruang untuk dimanipulasi oleh musuh dan pihak yang sengaja mencari isu. “Saya kata kepada beliau (Hisyamuddin), tenaga dan dinamisme yang ditunjukkan itu sangat baik tapi dalam masa sama perlu berhati-hati untuk pastikan rakyat faham apa yang kita cuba sampaikan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan turut memuji Hisyamuddin kerana pantas melihat dan menangani sesuatu isu yang disifatkan beliau sebagai perkara yang sangat ‘fresh’ dan berbeza daripada pengurusan sebelum ini.
Hisyamuddin dilantik sebagai ketua J-Kom minggu lalu, sekali gus menjadi individu keempat menerajui jabatan itu sejak pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada November 2022.
Beliau menerima kritikan selepas didakwa menggunakan gelaran berbaur perkauman terhadap dua pengkritik kerajaan, iaitu ahli perniagaan Albert Tei dan pempengaruh media sosial Eric See-To, dalam satu hantaran di media sosial. Bekas Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago, turut menegur Hisyamuddin susulan gesaannya supaya rakyat Malaysia ‘memerhatikan komuniti Rohingya’.



