Sumbangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim Sempena Aidiladha
Kira-kira 2,000 penduduk dari tujuh kampung Orang Asli di Ulu Kinta telah menerima manfaat daripada program qurban Aidiladha susulan sumbangan lapan ekor lembu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu turut mendapat penyertaan daripada komuniti Orang Asli setempat.
Pegawai Khas Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri, berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan komuniti Orang Asli di kawasan Parlimen Tambun turut sama menikmati sambutan Aidiladha dan mendapat manfaat daripada pengagihan daging korban.
Program ini melibatkan komuniti Orang Asli dari Kampung Makmur, Kampung Tonggang, Kampung Chadak, Kampung Suluh, Kampung Suak Petai, Kampung Choh dan Kampung Baduk.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelumnya, maka tahun ini kami memperluaskan program dan meningkatkan penglibatan komuniti,” katanya kepada pemberita selepas program Qurban Perdana dan Kenduri Rakyat Aidiladha 2026 di Kampung Makmur pada hari ini.
Mohamad Hairul Amir berkata, Perdana Menteri telah menyumbang kira-kira 170 ekor lembu untuk diedarkan di seluruh kawasan Parlimen Tambun sempena Aidiladha tahun ini.
Beliau berkata, sumbangan itu membolehkan masjid, surau, persatuan penduduk dan komuniti setempat menjalankan aktiviti qurban serta mengagihkan daging kepada mereka yang memerlukan.
“Ini mencerminkan komitmen berterusan Perdana Menteri untuk memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Makmur, Jailani Rasid, berkata program itu memberi manfaat kepada komuniti Orang Asli di samping mengeratkan hubungan sesama penduduk.
“Kami bersyukur atas sumbangan lembu dan daging korban. Program seperti ini memberi peluang kepada penduduk dari kampung yang berbeza untuk berkumpul dan menyertai upacara qurban,” katanya. – Bernama



