Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan pembangunan untuk Pulau Pinang meningkat sebanyak 60 peratus tahun ini kepada RM7.8 bilion, berbanding kurang RM5 bilion pada 2022.
Beliau berkata, peruntukan kepada negeri itu telah ditingkatkan secara konsisten sejak 2023, iaitu RM5.7 bilion, diikuti RM5.8 bilion pada 2024, dan RM7.6 bilion pada 2025.
“Ini adalah hak dan kewajaran membantu yang munasabah, menunjukkan peningkatan hampir 60 peratus berbanding 2022,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di Pekarangan Stadium Negeri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara projek utama yang dilaksanakan di Pulau Pinang ialah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD).
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak meminggirkan negeri lain, sebaliknya terus meningkatkan peruntukan pembangunan di seluruh negara selaras dengan pertumbuhan hasil kerajaan.
Selepas majlis berkenaan, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seberang Perai Tengah di Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Bukit Mertajam bagi menyelaras agenda pembangunan setempat.
Mesyuarat yang berlangsung selama 45 minit itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid serta pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan. Mereka membincangkan isu pembangunan setempat termasuk aspek infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan rakyat di daerah Seberang Perai Tengah.



