BALIK PULAU, 30 Mei — Semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, bersama jabatan dan agensi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), telah diarahkan untuk mempertingkatkan pemantauan terhadap projek pembangunan di seluruh Pulau Pinang bagi memastikan ia berjalan lancar.
Pemantauan projek diperketat
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, menegaskan bahawa perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya untuk memastikan setiap projek yang dirancang disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan demi manfaat rakyat.
“Saya akan mengarahkan kerajaan negeri, semua anggota exco dan agensi kerajaan termasuk PBT untuk mempertingkatkan pemantauan pelaksanaan projek dan mempercepatkan permulaan projek yang belum bermula,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Ketua Menteri di Pasar Pagi Balik Pulau, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Menurut Chow, pelbagai faktor boleh menghalang kemajuan projek dan menyebabkan kelewatan jika tidak ditangani segera. Beliau menekankan bahawa penyiapan projek pembangunan tepat pada masanya bukan sahaja akan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, malah meningkatkan daya saing negeri dan memperkukuh ketahanan Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim.
Chow berharap setiap anggota exco akan memimpin jabatan di bawah portfolio masing-masing dengan lebih proaktif bagi memastikan projek pembangunan kerajaan negeri dilaksanakan seperti dirancang.
“Rakyat tidak akan berdiam diri dalam membangkitkan isu berkaitan projek yang tertangguh atau ‘sakit’. Oleh itu, pada separuh kedua penggal kami, kami akan memberi tumpuan kepada pemantauan dan memastikan pelaksanaan dijalankan mengikut jadual bagi mengekalkan prestasi kerajaan negeri yang memberangsangkan,” katanya.
Chow menjelaskan bahawa kelewatan projek biasanya disebabkan oleh pelbagai isu teknikal, termasuk kelemahan pada peringkat kajian awal yang mengakibatkan masalah tertentu tidak dikenal pasti secara menyeluruh sebelum pelaksanaan.
“Namun, ia bukanlah perkara yang serius. Paling penting, kami ingin memastikan rakyat dapat melihat kemajuan yang dicapai,” katanya. — Bernama



