SEREMBAN, 20 Mei — Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada tahun ini, walaupun perkara itu masih dalam pertimbangan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, kemungkinan mengadakan PRN secara serentak dengan negeri jiran, Melaka dan Johor, juga akan diteliti.
“Kemungkinan itu ada (untuk PRN). Dalam politik, apa-apa pun boleh jadi. Mungkin tahun ini atau tahun depan, Insya-Allah.
“Kita akan lihat bila negeri jiran (Melaka dan Johor) mengadakan pilihan raya, dan mungkin kita boleh adakan serentak. Itu akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.
Persidangan DUN
Mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang, Aminuddin berkata kerajaan negeri sedang mengkaji tarikh yang sesuai memandangkan penggal DUN semasa hanya berakhir pada 24 Oktober.
“Kerajaan negeri sedang melihat tarikh yang sesuai untuk mengadakan persidangan... ada kira-kira enam bulan lagi, dan paling lewat pada 24 Oktober. Jika tiada persidangan diadakan sehingga tarikh itu, DUN akan dibubarkan secara automatik,” katanya.
Kerjasama dengan BN
Sementara itu, apabila ditanya sama ada PH Negeri Sembilan akan bertanding solo tanpa Barisan Nasional (BN), beliau menegaskan bahawa keputusan itu terletak pada pimpinan pusat.
Beliau berkata, walaupun terdapat pandangan kuat dalam PH negeri untuk gabungan itu bertanding solo, landskap politik semasa boleh berubah mengikut keadaan, dan kerjasama antara parti masih boleh dihidupkan semula pada masa hadapan.
Dalam PRN ke-15 yang diadakan pada 12 Ogos 2023, BN memenangi 14 kerusi, PH meraih 17 kerusi, manakala Perikatan Nasional memenangi lima kerusi.
Tugas Exco
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata beliau kini memangku tugas exco negeri bagi Pembangunan Luar Bandar, Perladangan dan Komoditi; Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup; serta Pendidikan berikutan kekosongan jawatan exco yang dipegang BN.
Portfolio Belia dan Sukan diuruskan oleh Nicole Tan, manakala portfolio Warisan dan Teknologi dikendalikan oleh Datuk Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim dan portfolio Inovasi dan Digital oleh J. Arul Kumar.
Bulan lalu, 14 ADUN BN menyatakan mereka telah menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, menyebabkan empat jawatan exco negeri yang dipegang oleh gabungan itu kosong. — Bernama



