KUALA LUMPUR, 30 Mei — Kerajaan Madani komited untuk memastikan Sabah dan Sarawak menerima pembangunan yang adil dan mampan melalui peluang pendidikan yang lebih baik, akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan infrastruktur asas yang menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran Facebook sempena sambutan Kaamatan dan Gawai, Anwar berkata usaha ini bertujuan memastikan rakyat di kedua-dua negeri menikmati kualiti hidup yang lebih bermaruah.
Beliau berkata Kaamatan dan Gawai adalah perayaan kesyukuran yang berakar umbi dalam tradisi dan warisan rakyat Sabah dan Sarawak, disambut dengan penuh makna dalam semangat kebersamaan, muafakat dan penghargaan terhadap hasil bumi yang melimpah.
Kepelbagaian budaya perkuat perpaduan
“Dalam kepelbagaian adat, bahasa dan budaya yang memperkaya negara kita, sambutan ini mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kemampuannya memelihara keharmonian dalam kepelbagaian, memperkukuh semangat persaudaraan dan memupuk budaya saling menghormati,” katanya.
Perdana Menteri berkata sambutan itu juga mencerminkan pentingnya kebersamaan dalam memperkukuh keharmonian nasional.
Beliau turut mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Semoga perayaan ini membawa kemakmuran, keberkatan dan seterusnya mengukuhkan semangat muafakat dan perpaduan yang menjadi asas keharmonian di Malaysia yang kita cintai,” katanya. — Bernama



