PAGOH: Parlimen Pagoh khususnya DUN Bukit Pasir tidak lagi boleh dianggap kubu kuat Perikatan Nasional (PN) atau Muhyiddin Yassin, kata calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Fazli Salleh. Beliau menyifatkan politik semasa tidak lagi mengenal istilah ‘kubu kuat’.
Kemenangan majoriti tipis bukti perubahan
Fazli yang juga penyandang DUN itu berkata, kemenangan BN pada PRN lalu walaupun dengan majoriti tipis membuktikan pengundi bawah Parlimen Pagoh mampu membuat perubahan berdasarkan prestasi, bukan semata-mata pengaruh individu.
“Politik sekarang tiada lagi kubu kuat, hari ini boleh jadi kubu kuat esok jadi tempat yang orang lawan boleh dapat majoriti. “Meskipun orang sebut sebagai kubu kuat PN atau Muhyiddin, saya yakin masyarakat di Bukit Pasir bawah Parlimen Pagoh dapat menilai,” katanya kepada FMT.
Prestasi kerajaan negeri ukuran utama
Pada PRN lalu, BN menang DUN Bukit Pasir dengan majoriti 198 undi dalam pertandingan enam penjuru. Parlimen Pagoh dimenangi Muhyiddin pada PRU dengan majoriti lebih 10,000 undi. Jika dipecahkan mengikut DUN, beliau memperoleh majoriti lebih 5,000 undi di Bukit Kepong dan lebih 4,000 di Bukit Pasir.
Bukit Pasir salah satu DUN bawah Parlimen Pagoh yang sering dikaitkan dengan pengaruh kuat Muhyiddin dan Bersatu. PRN kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Fazli, Idzhar Nasirruddin (Perikatan Nasional) dan Najib Lep (Pakatan Harapan).
Pengundi bijak memilih
Fazli berkata, walaupun faktor Muhyiddin masih wujud memandangkan bekas perdana menteri ada sejarah panjang dalam politik dan pembangunan di Pagoh, pengundi kini lebih menilai kemampuan wakil rakyat dan prestasi kerajaan negeri.
“Tidak dinafikan ada faktor Muhyiddin sebab beliau orang lama. Beliau sudah lapan penggal menjadi Ahli Parlimen, pernah menjadi Adun dan menteri besar selama dua penggal. Tetapi, saya yakin rakyat DUN Bukit Pasir bijak memilih. “Mereka memilih bukan dengan emosi tetapi dengan hati dan melihat sendiri apa yang kerajaan negeri lakukan serta apa yang saya sebagai wakil rakyat sudah buat. Prestasi kerajaan negeri menjadi ukuran utama bukan semata-mata sentimen individu,” katanya.
Perbezaan PRU dan PRN
Katanya, keputusan PRU lalu yang menyaksikan Parlimen Pagoh dimenangi Muhyiddin dengan majoriti lebih 10,000 undi tidak boleh dijadikan ukuran mutlak bagi DUN Bukit Pasir.
“Ketika PRN, peratus keluar mengundi sekitar 50% hingga 60%, manakala PRU lebih 70%. Ada faktor pengundi luar yang balik dan isu Covid 19 ketika itu. Jadi, PRN dan PRU tidak boleh dijadikan ukuran sama,” katanya.
Beliau turut menyasarkan untuk meningkatkan majoriti kemenangan selepas lebih empat tahun menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, selain mengambil kira prestasi kerajaan Johor bawah kepimpinan Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi.



