CHUKAI, 16 Jun — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot mereka karam di perairan Kemaman pada Rabu lepas masih diteruskan pada hari kelima, dengan kawasan pencarian meliputi 117.30 batu nautika persegi.
Tiada petunjuk baru
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Abdul Halim Hamzah, berkata operasi yang kini memasuki hari kelima itu melibatkan 34 orang dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis marin dan nelayan tempatan.
Beliau berkata aset yang digunakan termasuk kapal APMM KM Redang dengan 19 anggota, bot polis marin PLC 3 dengan lapan anggota dan sebuah bot nelayan tempatan dengan tujuh nelayan.
“Sehingga jam 6 petang ini, pasukan pencari masih belum menemui sebarang petunjuk baru mengenai dua mangsa, iaitu nakhoda bot Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Operasi disambung pagi ini
Beliau berkata operasi SAR untuk dua nelayan itu dihentikan untuk hari tersebut dan akan disambung semula pagi ini.
Dalam kejadian pada Rabu lepas, sebuah bot nelayan yang membawa Azan, Nordin dan Mahadi Jusoh, 51, karam ketika ribut pada jam 12.30 pagi. Bagaimanapun, Mahadi telah diselamatkan oleh nelayan lain pada jam 10.30 pagi Khamis. — Bernama



