Onn Hafiz tak perlu bimbang calon MB PH, kata Zaliha
Onn Hafiz tak perlu bimbang calon MB PH

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Onn Hafiz Ghazi, tidak perlu bimbang tentang soal calon menteri besar Pakatan Harapan (PH), kata pengerusi PH Johor menjelang pilihan raya negeri yang semakin dekat.

Dr Zaliha Mustafa berkata PH menghormati sepenuhnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor dan kuasa Sultan Johor dalam melantik menteri besar, maka tidak ghairah menjadikan isu jawatan sebagai modal kempen.

Zaliha menarik perhatian kepada PRN Johor 2022, apabila BN menamakan Hasni Mohammad sebagai ‘poster boy’ gabungan itu tetapi Onn Hafiz yang akhirnya dilantik.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“PH mempunyai ramai pemimpin yang layak, berwibawa dan berintegriti untuk memikul amanah tersebut sekiranya diberikan mandat oleh rakyat,” menurut kenyataan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan BN Johor mempersoalkan siapa calon menteri besar yang akan ditampilkan PH sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Johor. Onn Hafiz dilapor berkata PH sehingga kini belum mengumumkan calon menteri besar, dan rakyat berhak mengetahui siapa yang akan menerajui pentadbiran negeri.

Zaliha bagaimanapun menarik perhatian kepada laporan bahawa Onn Hafiz menyatakan ‘poster boy’ bukan jaminan untuk dilantik sebagai menteri besar.

“Jika pelantikan menteri besar akhirnya tertakluk kepada proses dan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Johor, mengapa isu ini dijadikan polemik politik oleh beliau?” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Onn Hafiz berkata perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail amat penting dalam menentukan siapa bakal menerajui kerajaan negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun, manakala hari pengundian pula pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun. DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sebelum pembubaran, Barisan Nasional menguasai 40 kerusi diikuti PH 12, Perikatan Nasional tiga, manakala Muda satu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga