Jais serbu premis di Petaling Jaya, soal 226 warga asing berkaitan Syiah
Jais serbu premis di PJ, soal 226 warga asing berkaitan Syiah

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah premis di Jalan Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya, dua hari lalu, yang dipercayai menjalankan aktiviti bercanggah dengan fatwa dan berkaitan ajaran Syiah.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata serbuan dilakukan pada jam 9.34 malam hasil maklumat awam, dan seramai 226 warga asing terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak diperiksa.

Kerjasama pelbagai agensi

“Operasi ini melibatkan kerjasama antara Jais, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kekuatan 120 anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Shahzihan berkata serbuan dijalankan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, melibatkan siasatan di bawah Seksyen 12(c), 13 dan 16 enakmen yang sama.

Beliau berkata MBSJ juga mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] berhubung beberapa ketidakpatuhan berkaitan pembinaan dan pengubahsuaian bangunan yang dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Nasihat kepada orang ramai

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ajaran Syiah diminta menghubungi talian hotline Jais di 1800-88-2424.

“Ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. Jais juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan ajaran Syiah,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga