BN menang besar hanya ramalan, keputusan di tangan rakyat, kata Sim
BN menang besar hanya ramalan, kata Sim

SEGAMAT: DAP menyifatkan ramalan bahawa Barisan Nasional (BN) akan mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya sekadar andaian yang tidak menentukan keputusan sebenar di peti undi. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim, berkata musim pilihan raya sememangnya sering diiringi pelbagai ramalan daripada pelbagai pihak, namun keputusan muktamad tetap bergantung kepada pilihan rakyat.

Ramalan tidak tentukan keputusan

Katanya, kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya itu tidak ditentukan oleh ramalan atau pandangan mana-mana pihak, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi. “Dalam musim pilihan raya memang ada banyak ramalan. Ada ramalan orang cerdik pandai, ada ramalan orang pakar, ada juga ramalan macam Pak Belalang. “Bagi DAP, tugas kita ialah turun padang dan bekerja keras, tidak kira apa juga ramalan orang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Tekun dan membantu kempen calon PH, Ng Kor Sim, bagi DUN Jementah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming bahawa peluang BN menang besar dalam PRN Johor semakin meningkat, dengan gabungan yang diterajui Umno itu berpotensi memenangi lebih banyak kerusi berbanding PRN sebelum ini. Ahli DAP itu berkata BN boleh meraih sehingga 53 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan pada 11 Julai ini, iaitu pertambahan 13 kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022, sementara Pakatan Harapan (PH) dijangka hanya memenangi baki tiga kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan tewas di semua tempat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Keyakinan pada usaha jentera

Tambah Sim, keyakinan parti untuk mempertahankan dan memenangi kerusi bukan bersandarkan ramalan, sebaliknya usaha berterusan pemimpin serta jentera parti dalam menyakinkan pengundi. “Saya yakin usaha dan dedikasi wakil rakyat serta pemimpin kita mampu menyakinkan pengundi. Ramalan ini kita ambil sebagai rujukan sahaja, tidak kira ramalan siapa. Yang penting usaha perlu terus dipergiatkan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua parti yang bertanding dalam tempoh kempen pilihan raya bahawa tiada mana-mana parti boleh menganggap kemenangan sudah berada dalam genggaman. “Dalam mana-mana pertandingan, tidak ada orang boleh kata dia memang akan berjaya dan menang, jadi jangan bersikap kononnya kerusi ini sudah dalam genggaman dan angkuh. “Bagi DAP satu sahaja, bekerja dan terus bekerja,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga