Bekas penjawat awam kanan tawar diri jadi calon Bersama, kata Rafizi
Bekas penjawat awam kanan tawar diri jadi calon Bersama

Bekas penjawat awam kanan antara individu yang menawarkan diri untuk menjadi calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, menurut pemimpin parti itu, Rafizi Ramli.

Sambutan luar jangkaan daripada profesional

Menurut Rafizi, Bersama menerima sambutan di luar jangkaan, dengan ramai individu berkelayakan tampil secara sukarela melalui proses permohonan. Mereka akan melalui proses saringan dan temu duga secara digital sebelum dipertimbangkan untuk bertanding.

“Saya sendiri meneliti satu persatu permohonan dan rakaman temu duga yang dihantar. Hampir semua yang tampil bukan orang politik, tetapi rakyat biasa mempunyai latar belakang profesional dan pengalaman kerja yang baik,” katanya menurut Sinar Harian selepas Jelajah Kancil di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Proses tapisan calon PRN Johor selesai

Proses tapisan calon PRN Johor sudah selesai dan beliau yakin senarai calon yang terdiri daripada gabungan profesional, individu berpengalaman dalam politik serta aktif dalam komuniti mampu mengejutkan pelbagai pihak.

“Kita melihat latar belakang pendidikan, kerjaya, penglibatan masyarakat dan kemampuan mereka menyelesaikan masalah rakyat. Insya-Allah apabila diumumkan nanti, orang ramai akan melihat kualiti calon-calon Bersama setanding, malah lebih baik daripada parti sudah lama bertapak,” katanya.

Sokongan padu daripada pengundi Melayu

Katanya, sambutan golongan profesional, intelektual dan bekas pegawai kanan kerajaan sangat menggalakkan, sekali gus menunjukkan mereka yakin dengan perjuangan dibawakan parti itu.

“Sambutan yang diterima setakat ini menunjukkan sokongan paling memberangsangkan datang daripada pengundi Melayu, termasuk golongan profesional dan penjawat awam,” katanya sambil menambah kehadiran golongan berpengalaman turut menepis dakwaan Bersama hanya mendapat sokongan kelompok tertentu.

Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen Pandan serta Setiawangsa dan meninggalkan PKR bulan lalu, sebelum mengambil alih Bersama. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Johor dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 11 Julai serta 1 Ogos ini.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga