Warga Myanmar maut, isteri cedera diserang di Simpang Ampat
Warga Myanmar maut, isteri cedera diserang di Simpang Ampat

BUKIT MERTAJAM, 1 Jun — Seorang lelaki warga Myanmar maut manakala isterinya cedera selepas dipercayai diserang oleh rakan senegara di Taman Belibis, Simpang Ampat, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, seorang lelaki Myanmar berusia 38 tahun telah ditahan susulan kejadian itu bagi membantu siasatan.

Dalam serangan tersebut, mangsa lelaki berusia 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang wanita berusia 26 tahun yang dipercayai isterinya, juga warga Myanmar, mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Mangsa meninggal dunia akibat kejadian itu, manakala wanita yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan perubatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azizee berkata, polis masih menyiasat motif di sebalik serangan itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam kenyataan daripada individu berkaitan.

Beliau menambah, mayat mangsa telah dihantar ke HSJ untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga