PUTRAJAYA: Sisa makanan dalam kalangan isi rumah di Malaysia dianggarkan antara 31.9kg hingga 97.3kg per kapita setiap tahun, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata, berdasarkan Survei Indikator Isi Rumah Negara (NHIS) 2025, pembaziran makanan lebih ketara bagi makanan yang telah diproses atau dimasak berbanding makanan mentah.
Peratusan isi rumah buang makanan
“Kira-kira 94.1% isi rumah dilaporkan pernah membuang makanan yang telah diproses atau dimasak berbanding 88.7% untuk makanan mentah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Penemuan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pembaziran makanan berlaku selepas makanan disediakan, menekankan kepentingan amalan isi rumah yang lebih baik dari segi perancangan hidangan, penyediaan makanan dan pengurusan lebihan makanan.”
Amalan pengasingan sisa makanan
Menurut Uzir, survei itu juga menunjukkan bahawa 79.3% isi rumah membuang sisa makanan bersama-sama dengan sisa isi rumah yang lain, manakala hanya 20.7% mengamalkan pengasingan sisa makanan.
“Ini menunjukkan bahawa pengasingan sisa makanan masih belum menjadi amalan biasa dalam kalangan isi rumah, sekaligus menimbulkan cabaran kepada usaha untuk meningkatkan kecekapan pengurusan sisa organik dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan,” katanya.
Kategori makanan paling dibazirkan
Uzir berkata, mengikut jenis makanan, sayur-sayuran merupakan kategori makanan mentah yang paling banyak dibazirkan pada 29.1%, diikuti oleh buah-buahan (22.4%) dan ikan atau makanan laut (15%).
Bagi makanan yang diproses atau dimasak, nasi (16.7%) mencatatkan kadar pembaziran tertinggi, diikuti oleh sayur-sayuran (15.8%) dan makanan yang dibeli dari luar (13.8%).
“Corak ini menunjukkan bahawa pembaziran makanan terutamanya melibatkan makanan segar yang mudah rosak serta makanan ruji yang lazimnya dimasak dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Punca pembaziran makanan
Uzir menambah, 19.3% daripada sisa makanan disebabkan oleh tamat tempoh, manakala faktor lain termasuk menyimpan lebihan makanan di dalam peti sejuk atau peti ais terlalu lama (18.1%), pembelian berlebihan (15.2%) dan memasak dalam kuantiti berlebihan (15.1%).
“Penemuan ini menunjukkan bahawa pembaziran makanan banyak dipengaruhi oleh amalan pengurusan makanan di peringkat isi rumah, terutamanya dari segi perancangan pembelian, penyimpanan makanan dan kawalan bahagian dalam penyediaan makanan,” katanya.
Perbandingan global
Uzir berkata, corak pembaziran makanan isi rumah di Malaysia secara amnya sejajar dengan trend global sebanyak 79kg per kapita setahun. Walau bagaimanapun, Malaysia mempunyai ciri-ciri tempatan tersendiri, dipengaruhi oleh tabiat pemakanan masyarakat, terutamanya pembaziran nasi dan sayur-sayuran.
“Maklumat yang dihasilkan akan menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan amalan pengurusan makanan yang lebih cekap, sekali gus menyumbang kepada pencapaian agenda pembangunan mampan negara,” katanya.



