KUALA LUMPUR: Polis akan menggunakan kit ujian air liur bagi mengesan penggunaan dadah sintetik yang dicampur ke dalam cecair rokok elektronik atau vape dalam sekatan jalan raya sebagai langkah membendung individu memandu di bawah pengaruh bahan terlarang itu.
Langkah susulan kemalangan jalan raya
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Hussein Omar Khan berkata, langkah itu dilaksanakan susulan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan pemandu yang khayal dengan dadah jenis itu kebelakangan ini. “Keadaan ini membimbangkan, terdapat pengguna jalan raya yang memandu sambil menghisap dadah sintetik yang dimasukkan ke dalam vape ini … tanpa sedar, mereka khayal secara perlahan-lahan,” katanya dalam sidang media.
Piu Piu dan Magic Mushroom bukan nama dadah
Hussein berkata, Piu Piu atau Magic Mushroom bukanlah nama jenis dadah tetapi merupakan satu terma untuk pasaran dan promosi dadah jenis cecair sintetik yang dimasukkan dalam peranti rokok elektronik. “Dadah ini mudah diperoleh sama ada melalui pembelian secara dalam talian, di pusat-pusat hiburan dan dijual dalam kalangan mereka yang menggunakan dadah itu. “Pengambilan dadah ini menyebabkan penggunanya khayal hingga hilang pertimbangan (dan) kewarasan diri,” katanya.
Peningkatan kemalangan dan tangkapan
Hussein berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah kemalangan jalan raya akibat daripada pengambilan dadah ini akan meningkat, sekali gus menyebabkan lebih banyak nyawa terancam, terutamanya pengguna jalan raya lain. Katanya, dengan kit itu, hasil ujian salah guna dadah dapat diperoleh segera. Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata, JSJN mencatat 108 kes membabitkan 138 tangkapan berkaitan penggunaan cecair dadah sintetik di seluruh negara sepanjang tahun lepas. Bagaimanapun, sehingga 10 Jun tahun ini sahaja, 168 kes dengan 267 tangkapan direkodkan, menunjukkan peningkatan ketara dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu.



