Ringgit lemah susulan serangan di Selat Hormuz jejas sentimen pasaran
Ringgit lemah susulan serangan di Selat Hormuz

KUALA LUMPUR, 26 Mei — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, tertekan oleh perkembangan luaran selepas laporan mengenai serangan AS dan Israel ke atas kapal Iran di Selat Hormuz, yang menjejaskan sentimen pasaran serantau.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 3.9660/9705 berbanding dolar AS daripada 3.9510/9550 semalam.

Menurut laporan berita, serangan tersebut mengakibatkan beberapa korban dalam kalangan warga Iran.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, memberitahu Bernama bahawa perkembangan sedemikian menunjukkan usaha rundingan damai yang sedang dijalankan mungkin sia-sia, sekali gus meningkatkan risiko konflik ketenteraan yang berpanjangan di Asia Barat.

Pada masa penulisan, minyak mentah Brent didagangkan lebih tinggi sebanyak 2.80 peratus kepada AS$98.83 setong.

“Ia seperti situasi bolak-balik dan membawa kepada ketidaktentuan pasaran yang lebih tinggi.

“Dalam pada itu, tekanan inflasi yang semakin meningkat berikutan kejutan minyak berkemungkinan akan membentuk kadar inflasi global dan, oleh itu, sentimen berhati-hati dalam kalangan pedagang akan mengehadkan kenaikan ringgit dalam jangka terdekat,” kata Mohd Afzanizam.

Walau bagaimanapun, beliau berkata ringgit kekal agak berdaya tahan berdasarkan tahun setakat ini, berada di kedudukan mata wang kedua terbaik di rantau ini walaupun terdapat turun naik baru-baru ini.

Beliau juga berkata rupiah Indonesia dan rupee India kini berada di bawah tekanan yang lebih besar disebabkan oleh kedudukan defisit berkembar mereka, menjadikan kedua-dua ekonomi lebih terdedah kepada kejutan harga minyak.

Pada penutup, ringgit juga didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia melemah berbanding yen Jepun kepada 2.4917/4947 daripada 2.4860/4887 semalam, susut berbanding euro kepada 4.6172/6225 daripada 4.5998/6044 semalam, dan merosot berbanding pound British kepada 5.3470/3530 daripada 5.3311/3365 sebelumnya.

Mata wang tempatan kebanyakannya lebih rendah berbanding rakan serantau kecuali baht Thailand, meningkat kepada 12.1485/1675 daripada 12.1640/1816 semalam.

Ringgit lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1038/1075 daripada 3.0932/0966 semalam, susut sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.44/6.45 daripada 6.43/6.44, dan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.8/223.2 daripada 222.6/223 semalam.

Pasaran akan ditutup esok sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga