Menteri gesa PKS guna dana bantuan RM5 bilion, 20 bank sertai skim
Menteri gesa PKS guna dana RM5 bilion, 20 bank sertai skim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, menggesa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk merebut peluang memohon pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) yang disediakan kerajaan bagi membantu perniagaan mereka mengharungi cabaran ekonomi semasa.

Bilangan bank meningkat kepada 20

Beliau memaklumkan bahawa jumlah institusi kewangan yang terlibat dalam menyalurkan dana tersebut kini meningkat kepada 20 bank, berbanding 18 bank yang diumumkan sebelum ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan kemudahan pembiayaan khas SME SRF bernilai RM5 bilion, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban usahawan dan membantu mereka menangani kesan cabaran ekonomi global, termasuk krisis bekalan tenaga global,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di Pasar Pagi Balik Pulau di sini sempena program jangkauan Ketua Menteri.

Senarai bank terlibat

Antara bank yang terlibat termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), Standard Chartered Bank Malaysia Berhad / Standard Chartered Saadiq Berhad, dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad.

Sim berkata, di bawah kemudahan ini, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 pada kadar keuntungan atau faedah rendah iaitu 3.75 peratus setahun untuk tempoh sehingga lima tahun.

“Di peringkat kementerian, kami menyasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada usahawan pada tahun ini dan setakat April lalu, RM4 bilion telah disalurkan kepada lebih 150,000 usahawan di seluruh negara,” katanya.

Beliau menambah, kementerian juga bekerjasama rapat dengan kesemua 20 bank yang mengambil bahagian untuk memudahkan proses permohonan pembiayaan bagi syarikat PKS.

Usahawan dan peniaga yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai bank yang mengambil bahagian melalui laman web BNM sebelum mengemukakan permohonan mereka. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga