Skim Simen Rahmah Diteruskan dengan Peruntukan 1.6 Juta Tan untuk Rumah Mampu Milik
PUTRAJAYA, 20 Mei — Skim Simen Rahmah akan diteruskan tahun ini dengan peruntukan sebanyak 1.6 juta tan metrik simen bagi menyokong sasaran pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata skim yang menawarkan simen pada harga lebih rendah daripada pasaran itu turut diperluaskan ke projek perumahan mampu milik di bawah Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.
“Inisiatif Simen Rahmah adalah komponen penting komitmen kerajaan untuk memastikan sektor perumahan tidak terhenti kerana sektor hartanah adalah salah satu tonggak ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Inisiatif Simen Rahmah 2026 di sini hari ini.
Melalui skop skim yang diperluaskan, Nga berkata projek pembangunan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), serta pelbagai skim perumahan di bawah kerajaan negeri, akan mendapat perlindungan kos melalui pengekalan harga simen bersubsidi.
Ini termasuk simen pukal pada harga RM290 satu tan, mewakili penjimatan 31.8 peratus atau RM135 berbanding harga pasaran RM425, manakala simen beg (50kg) dijual pada harga RM17.50 satu beg, menawarkan penjimatan 29.7 peratus atau RM7.40 berbanding harga pasaran RM24.90.
“Fasa pertama inisiatif Simen Rahmah akan menyediakan 1.6 juta tan metrik simen untuk menyokong projek perumahan mampu milik yang berharga RM300,000 dan ke bawah seunit. Dengan menstabilkan kos simen, kami memberikan ruang kepada pemaju untuk mengekalkan harga jualan yang lebih rendah tanpa menjejaskan kualiti pembinaan.
“Penjimatan kos ini bertindak sebagai mekanisme untuk mengawal harga rumah, intervensi awal bagi mengelakkan risiko projek sakit atau terbengkalai, dan memastikan kualiti rumah untuk rakyat tidak terjejas,” katanya.
Bagi memastikan tiada ketirisan, beliau berkata permohonan untuk skim itu akan diselaraskan sepenuhnya melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi memastikan semua kriteria kelayakan dipatuhi dengan ketat.
Nga berkata inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha proaktif Kerajaan Madani melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam menangani cabaran krisis bekalan global berpunca daripada konflik Asia Barat.
“Memandangkan perkembangan global terkini, kementerian telah mengambil langkah proaktif untuk meneruskan inisiatif ini sebagai respons langsung terhadap kenaikan kos bahan binaan dan cabaran ekonomi global yang semakin menekan rantaian bekalan,” katanya.
Pada April 2023, kementerian memperkenalkan Skim Simen Rahmah melalui kerjasama strategik dengan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA). Skim itu telah mencatatkan kejayaan nyata dengan 29 projek pembangunan perumahan mampu milik diluluskan melibatkan penggunaan 1,560,329 beg dan 316,918.22 tan metrik simen. — Bernama



