Kelantan catat kadar penagih dadah tertinggi di Malaysia
Kelantan catat kadar penagih dadah tertinggi

Empat negeri yang terletak berhampiran dan di sempadan negara, iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, terus merekodkan kadar tertinggi penyalahgunaan dadah di negara ini tahun lepas.

Kadar Tertinggi di Kelantan

Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Siti Mariam Mursidan berkata, Kelantan mencatat kadar tertinggi, iaitu sebanyak 1,105 penagih dan penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk. Diikuti Terengganu (997 orang), Perlis (970 orang) dan Kedah (965 orang).

Faktor Geografi

Beliau menjelaskan, faktor geografi negeri-negeri itu membuka ruang bekalan bahan terlarang masuk ke pasaran tempatan, sekali gus memudahkan golongan penagih dadah mendapatkan sumber.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Secara keseluruhan, 191,832 tangkapan melibatkan penagih dan penyalah guna dadah serta bahan terlarang direkodkan sepanjang tahun lepas,” katanya selepas program Kuala Nerus Car Free Hour (KNCFH) dan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Terengganu 2025, di Kuala Nerus, lapor Bernama.

“Selain empat negeri tersebut, negeri lain yang turut mencatat kadar agak tinggi ialah Pahang (795 orang), Pulau Pinang (757 orang), Melaka (659 orang) dan Perak (579 orang).”

Beliau bagaimanapun berkata, semua negeri masih berada dalam keadaan terkawal.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Terengganu Suffian Sulaiman dan Pengarah AADK Terengganu Arzmi Abdullah.

Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah

Pada majlis itu, Siti Mariam turut mengumumkan pemilihan dua kampung, iaitu Kampung Gong Rawai, Kuala Terengganu dan Kampung Rawai, Marang sebagai perintis Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah.

Beliau berkata, pemilihan lokasi itu berdasarkan komitmen kepimpinan serta komuniti dalam membantu AADK melaksanakan sebarang program pencegahan serta kegiatan berkaitan.

“Pemilihan kampung bukanlah bermakna kawasan itu ramai penagih dadah, tetapi atas dasar kerjasama dan kesediaan komuniti dan pemimpin masyarakat terhadap sebarang usaha memerangi najis dadah.

“Terengganu agak istimewa kerana dua kampung dipilih sebagai projek perintis, di negeri-negeri lain hanya satu sahaja kampung angkat untuk program sama,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga