Hasil Ikan Merosot Lebih 65% Akibat Pukat Tunda dan Korek Pasir di Parit Jawa
Hasil Ikan Merosot Lebih 65% Akibat Pukat Tunda dan Korek Pasir

MUAR: Nelayan di Parit Jawa, Johor mendakwa hasil tangkapan ikan merosot lebih 65% dalam tempoh 10 tahun ini akibat aktiviti pengorekan pasir dan pencerobohan bot pukat tunda yang memusnahkan kawasan pembiakan ikan. Justeru, mereka menggesa penguatkuasaan terhadap pencerobohan bot pukat tunda diperketatkan dan mengkaji semula aktiviti pengorekan pasir di kawasan pembiakan ikan, selain menyediakan saluran pemasaran yang mengutamakan hasil tangkapan nelayan tempatan.

Pendapatan Nelayan Merudum

Marizal Ibrahim, 47, berkata pendapatan kasar tahunan nelayan sebelum ini boleh mencecah sekitar RM200,000, tetapi kini untuk memperoleh RM30,000 setahun amat sukar. Malah, beliau mendakwa hampir separuh nelayan di Parit Jawa kini berdepan masalah kewangan sehingga ada yang terpaksa menjual bot kerana tidak mampu menanggung kos operasi.

“Kami sudah bertahun-tahun berdepan isu ini. Bot pukat tunda masih masuk ke kawasan tidak dibenarkan. Kami sudah banyak kali buat aduan, tetapi tiada tindakan berkesan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kawasan kami menangkap ikan semakin terhad kerana aktiviti korekan pasir. Kami hanya boleh pergi sekitar 12 batu nautika kerana sempadan Selat Melaka yang sempit,” katanya kepada FMT.

“Modal sebuah bot besar dengan pekerja mencecah ratusan ringgit setiap kali turun ke laut. Jaring pula bernilai puluhan ribu ringgit. Kalau balik hanya dapat hasil RM100, macam mana nak balik modal? Bila ikan tiada, jaring pula cepat rosak dan reput kerana lama tidak digunakan.”

Cadangan Pasar Nelayan dan Bantuan Tidak Sampai

Marizal mencadangkan pasar nelayan diwujudkan dan diuruskan mereka sendiri tanpa pembabitan pihak ketiga kerana sukar memasarkan ikan, selain perlu bersaing dengan bekalan dari luar, termasuk Perlis dan Perak.

“Memang itu hak peniaga, tetapi kalau pasar itu berada di kawasan nelayan, sepatutnya hasil nelayan tempatan diberi keutamaan. Bila kami balik lewat petang, ikan pula sukar dijual sebab pasar ditutup tengah hari. Kalau tak laku, akhirnya dijadikan baja.

“Ramai nelayan sudah putus harapan. Ada yang buat kerja kampung, berkebun, malah ada yang hendak jual bot pun tiada orang mahu beli kerana tiada siapa lagi berminat turun ke laut. Orang muda tak minat jadi nelayan sebab tak ada masa depan.”

Beliau turut kecewa kebanyakan bantuan yang diumumkan kerajaan tidak sampai kepada nelayan yang benar-benar memerlukan. “Saya jadi nelayan sejak kecil, tetapi bantuan jaring, binaan rumah atau peralatan pun saya tidak pernah dapat. Yang kami perlukan bukan sekadar subsidi, tetapi penguatkuasaan tegas. Turun padang, pantau kawasan laut dan selamatkan nelayan, bukan hanya melihat laporan dari pejabat.”

Seruan Pembangunan Sektor Perikanan

Alif Laam Min Azhar, 27, berkata tiba masa sektor perikanan di Parit Jawa dibangunkan secara menyeluruh tanpa bergantung kepada hasil tangkapan semata-mata. Menurutnya, kemudahan pendaratan bot, pemasaran hasil laut, latihan pengendalian bot serta teknologi moden perlu dipertingkatkan bagi menarik minat golongan muda menjadi nelayan.

“Parit Jawa ada potensi besar, tetapi perlu pembangunan lebih tersusun. Proses mendapatkan lesen bot juga perlu dipermudahkan kerana terlalu banyak kerenah birokrasi. Tanpa lesen, kami tidak layak menerima subsidi diesel,” katanya yang berharap kerajaan negeri baharu akan membantu menyelesaikan masalah mereka.

Beliau turut mendakwa pampasan yang dijanjikan kepada nelayan terjejas akibat aktiviti pengorekan pasir belum diterima sehingga kini.

Kos Operasi Meningkat, Hasil Tangkapan Menurun

Ali Omar, 78, pula berkata perubahan di laut sangat ketara berbanding ketika beliau mula menjadi nelayan pada usia belasan tahun. Walaupun subsidi yang diberikan kerajaan sedikit sebanyak membantu, tetapi katanya, ia tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos dan kemerosotan hasil tangkapan.

“Kami kadang-kadang nak dapat RM50 sehari pun susah. Kami harap kerajaan dan pihak berkaitan mengambil tindakan segera sebelum keadaan lebih parah. Jika aktiviti pembangunan diteruskan di kawasan sekitar sekurang-kurangnya beri peluang pekerjaan tetap kepada anak-anak nelayan yang kehilangan sumber pendapatan.”

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga