MSF pecat 18 kakitangan atas dakwaan eksploitasi seksual pelarian Sudan
MSF pecat 18 kakitangan atas dakwaan eksploitasi seksual

MSF Pecat 18 Kakitangan Atas Dakwaan Eksploitasi Seksual Pelarian Sudan

PARIS: Organisasi kemanusiaan Doctors Without Borders (MSF) memecat 18 kakitangannya berikutan dakwaan penderaan dan eksploitasi seksual terhadap pelarian Sudan, kata jurucakap kumpulan berpangkalan di Paris itu kepada Agensi Berita Jerman (dpa) pada Selasa.

MSF memaklumkan, beberapa pelarian wanita dan kanak-kanak telah mengemukakan dakwaan terhadap kakitangan organisasi bantuan berkenaan, dan insiden dilaporkan berlaku di wilayah timur Chad.

Siasatan dalaman yang dijalankan pada akhir 2024 mendapati terdapat 59 dakwaan salah laku, termasuk gangguan seksual, eksploitasi dan penderaan yang melibatkan kakitangan, pekerja harian serta penyedia perkhidmatan luar, kata MSF.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Agensi bantuan itu menyatakan, tidak semua dakwaan dapat dibuktikan berikutan terdapat kes yang menyaksikan mangsa mahupun suspek yang didakwa tidak dapat dikenal pasti. Bagaimanapun, tindakan tatatertib telah diambil bagi kes-kes yang melibatkan salah laku serius.

“Tingkah laku ini merupakan pelanggaran serius terhadap nilai serta tanggungjawab MSF dan kami amat kesal atas kemudaratan serius yang telah berlaku,” kata MSF dalam kenyataan.

Tambahnya, pihaknya kini sedang berusaha menambah baik aspek pencegahan, pengesanan serta tindak balas terhadap kes-kes gangguan sedemikian. Organisasi itu turut mengakui, terdapat kelemahan dalam proses pengambilan kakitangannya, dengan menyatakan bahawa proses saringan yang mencukupi tidak dilakukan sebelum seseorang itu diberikan pekerjaan.

Pada masa yang sama, MSF berkata, persekitaran kerja kecemasan yang melibatkan golongan pelarian turut meningkatkan risiko eksploitasi berikutan faktor sumber yang terhad, populasi yang terdedah serta ketidakseimbangan kuasa yang ketara.

Perang saudara yang mengorbankan banyak nyawa telah berlarutan di Sudan selama lebih tiga tahun, menyebabkan lebih 11 juta rakyatnya terpaksa melarikan diri ke kawasan lain di dalam negara serta ke negara-negara jiran termasuk Chad.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga