Warga Myanmar maut cuba melarikan diri dari kebakaran bangunan Odeon
Warga Myanmar maut cuba lari dari kebakaran Odeon

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dipercayai warga Myanmar maut ketika cuba melarikan diri daripada kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar bangunan bekas panggung wayang Odeon di George Town, Pulau Pinang, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Shoki Hamzah, berkata mayat mangsa ditemukan berhampiran pintu keluar bangunan selepas kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira jam 11.15 malam.

“Dia kelihatan terperangkap ketika cuba melarikan diri,” kata Shoki seperti dilaporkan Bernama.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata pusat hiburan di bangunan itu tidak beroperasi kerana sedang menjalani pengubahsuaian.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat atas tindakan pantas mereka dalam melindungi penduduk dan harta benda berhampiran.

“Saya diberitahu bahawa anggota bomba bertindak pantas mengawal kebakaran dalam masa singkat, berjaya menghalangnya daripada merebak ke bangunan bersebelahan, termasuk di Jalan Sri Bahari,” katanya dalam hantaran Facebook.

Anggota bomba dihantar selepas panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam. Setibanya di lokasi, mereka mendapati api sudah marak, membabitkan kelab malam dua tingkat bernama Midnight Black yang terletak di bangunan bekas panggung wayang itu.

Odeon, yang bermula pada awal abad ke-20, menayangkan filem klasik Hollywood dan filem Melayu sepanjang tahun 1940-an hingga 1960-an. Ia ditutup sekitar tahun 1999-2000 dan kosong selama beberapa tahun sebelum dihidupkan semula untuk menayangkan filem Tamil. Tayangan terakhir dilaporkan pada Julai 2014, dan bangunan itu kemudiannya dijadikan muzium interaktif, kafe dan kelab malam.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga